Sebagai manusia kita
mudah hilang keyakinan diri, lebih-lebih lagi jika kita merasakan keadaan
sekeliling dan persekitaran memberikan tekanan kepada kita, orang yang
diharapkan memberi sokongan moral berbuat khianat atau menikam dari belakang,
atau seringkali mendapat kritikan atau kutukan daripada rakan-rakan, dan
sebagainya.
Orang lain tidak boleh
mengubah kita, kita sendiri yang perlu mengubah diri sendiri sekiranya kita
ingin berubah kepada yang lebih baik. Jangan harapkan orang lain memotivasikan
kita, kita sendiri yang harus memotivasikan diri sendiri, mesti timbul dari
keinginan dalaman sendiri. Mungkin luaran hanya sebagai pencetus tetapi yang
melaksanakan adalah kita sendiri, jika mahu betul-betul berubah.
Keyakinan diri seseorang
itu mudah diketahui apabila ia mula membuka mulut. Daripada percakapan, sikap,
ketahanan minda dan emosi kita, orang boleh menilai sejauh mana keyakinan diri
kita.
6 cara boleh diamalkan
bagi melonjakkan keyakinan diri dan seterusnya menaikkan harga diri atau dengan
kata lain maruah diri, iaitu:
1. Tingkatkan semangat
dan harga diri. Ini boleh dimulakan dengan menilai diri (muhasabah diri) dari
segi kebolehan, kelemahan, kekurangan, kekuatan secara jujur. Akui kekurangan
dan kelemahan diri dan cari jalan untuk memperbaikinya. Mulakan dengan
mendisiplinkan diri dan buang jauh-jauh pemikiran atau lintasan hati yang
negatif. Percaya kepada kebolehan diri sendiri.
2. Atasi perasaan malu
yang kena pada tempatnya. Malu melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan
maksiat, tapi tak harus malu membuat perkara-perkara yang baik dan kebajikan.
Tunjukkan semangat yang kuat, kental, optimis bukannya pesimis. Anggaplah
manusia lain pun serupa macam kita, tiada manusia yang sempurna tanpa cacat
celanya. Berani bercakap dan memberi pendapat dapat meingkatkan keyakinan diri.
3. Jangan takut mencuba
sesuatu, buat saja apa yang difikirkan baik dan bermanfaat, jangan terlalu
memikirkan atau terpengaruh dengan kata-kata orang yang pesimis di sekeliling
kita. Jangan fikirkan kegagalan awal-awal lagi sebelum mencubanya kerana
gelombang negatif ini akan mempengaruhi kita. Libatkan diri dengan
aktivit-aktiviti positif yang boleh menambahkan kemahiran kerja berpasukan dan
kepemimpinan. Percayakan diri sendiri mampu melakukan sesuatu yang dirancang
dalam apa keadaan sekalipun.
4. Berpakaian seperti
orang berjaya. Berpakaian yang sesuai mengikut tempat dan keadaan dapat secara
langsung dan secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri untuk
menuju kejayaan. Pakailah pakaian yang sesuai supaya tidak kelihatan janggal,
yang boleh menimbulkan rasa malu dan rendah diri yang mana akhirnya akan
mengurangkan rasa yakin dalam diri.
5. Tanamkan rasa
kebergantungan kepada Allah SWT sepenuhnya, kita hanya perlukan pertolongan
Allah SWT walaupun tiada manusia yang membantu kita. Dengan itu rasa keyakinan
diri akan melonjak, sebab kita sentiasa berasa dalam pertolongan Allah SWT.
6. Sentiasa mencari dan
menambah ilmu dan maklumat terkini supaya pengetahuan am, selain pengetahuan
dalam bidang masing-masing, tidak ketinggalan zaman dan diketawakan orang.
Dengan ilmu pengetahuan yang luas sudah tentu kita mempunyai keyakinan diri
yang tinggi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar